Kapal Penyelidikan RV-Discovery

Kapal yang dinamakan Research Vessel Discovery (RV-Discovery) sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu dibina pada September 2008 oleh syarikat tempatan dan berkemampuan menampung 12 krew kapal dan 11 pelatih atau penumpang pada satu-satu masa dengan dilengkapi peralatan sains marin terkini, kabin, ruang makan serta ruang rehat yang selesa. Selaras dengan slogan UMT iaitu “Terokaan Seluas Lautan”, langkah UMT memliki RV-Discovery dianggap satu sejarah kerana dapat menjalankan penyelidikan dan sains marin sekaligus, meletakkan UMT sebagai institusi terulung di negara ini dalam bidangnya.

Kapal RV-Discovery dibina khusus bagi tujuan penyelidikan oseanografi dan dilengkapi teknologi terkini setanding kapal penyelidikan luar negara dengan keupayaan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika tanpa mengisi minyak dan mampu berada selama dua minggu di lautan.

Bagi tujuan penyelidikan di perairan cetek, RV Discovery turut dilengkapi satu unit bot kecil.