Ucapan Aluan Pengarah

Kata Aluan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan

Bismillahirrahmanirahim….

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera,

Segala puji bagi Allah S.W.T yang telah merencanakan setiap aturan yang berlaku di dunia ini.  Setiap entiti yang hebat akan melalui fasa perubahan bagi membolehkan ianya berkembang dan membentuk halatuju yang lebih mampan.  Melalui evolusi pentadbiran yang berlaku di peringkat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Ogos 2019, Makmal Berpusat telah dijenamakan semula kepada Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL).  Proses penjenamaan semula yang berlaku ini adalah bagi menampakkan peranan yang lebih holistik pusat tanggungjawab PPPL di dalam memberi servis dan sokongan kepada aktiviti pengajaran & pembelajaran, penyelidikan dan penjanaan pendapatan Universiti.

Melihat kepada aspek kemudahan dan fasiliti, PPPL bertanggungjawab kepada makmal fizikal di dalam UMT dan juga makmal-makmal alami di lapangan.  Kompleks makmal PPPL mempunyai peralatan berteknologi tinggi yang mampu menyokong kajian-kajian berimpak tinggi penyelidik-penyelidik UMT.  Hasrat pengurusan Universiti adalah supaya konsep perkongsian peralatan berteknologi tinggi di PPPL dapat membantu meningkatkan kualiti penyelidikan UMT.  Hasrat ini adalah selari dengan matlamat awal penubuhan pusat tanggungjawab ini iaitu bagi menyediakan peralatan berteknologi tinggi kepada semua penyelidik-penyelidik di UMT dan luar melalui kaedah pengkongsian bijak, kos efektif dan penyelenggaraan yang rapi.

Manakala, makmal alami seperti Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong, Stesen Penyelidikan Alami Penyu Chagar Hutang, Stesen Penyelidikan Alami Tanah Bencah Setiu dan Stesen Penyelidikan Alami Kenyir mempunyai prasarana asas kepada aktiviti-aktiviti pengajaran & pembelajaran dan penyelidikan.  Operasi lapangan turut di sokong oleh kemudahan bot dan kapal penyelidikan yang telah menjalankan berfungsi dengan cekap.  Intergrasi daripada pelbagai kemudahan, fasiliti, dan perkhidmatan di bawah tanggungjawab PPPL mampu menyokong UMT bagi menjadi Universiti berfokus di dalam bidang marin dan kelautan.

Seperti kata perpatah “dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, layar sudah dilebarkan, sauh sudah diangkat ” maka tergantung kepada warga UMT khususnya penyelidik dan pelajar bagi menggunakan kemudahan dan fasiliti yang telah tersedia di PPPL secara efektif untuk melonjakka nama UMT sebagai sebuah Universiti tersohor di peringkat Nasional dan Antarabangsa.

”TEROKAAN SELUAS LAUTAN DEMI KELESTARIAN SEJAGAT”

Salam Hormat,

Prof. Madya Dr. Hasrizal Bin Shaari
Pengarah

Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)